>>Kek yang mempunyai komposisi bahan yang
seimbang dan suhu oven yang stabil tidak akan merekah.
Adakalanya kek yang kita buat menjadi merekah
seperti gunung berapi yang meletus.Tentu ramai yang tertanya-tanya mengapa jadi
begitu. Saya pernah membuat sebiji kek coklat moist yang mempunyai kandungan
cecair yang tinggi. Apabila hampir masak , ia merekah dan rekahannya sangat
luas. Nasib baiklah apabila sejuk, rekahannya kecut sedikit dan bolehlah
ditutup dengan topping coklat fudge. Ada beberapa faktor mengapa kek jadi
merekah iaitu:
1. Suhu oven terlalu
tinggi
Suhu yang biasa membakar kek ialah 180 darjah
celcius.Namun begitu setiap jenis oven mempunyai kepanasan yang berlainan.
Apabila suhu terlalu panas, bahagian luar kek menjadi keras sedangkan bahagian
dalamnya belum lagi kembang.Apabila bahagian dalam mengembang,ia akan menolak
keluar dari permukaan kek maka terjadilah rekahan.
2. Terlebih serbuk
penaik atau soda
Jika serbuk penaik atau soda bikarbonat tidak
disukat dengan betul, ia tidak seimbang dengan jumlah tepung yang digunakan.
Akibatnya ia akan menjadi terlalu kembang dan boleh mengakibatkan rekahan.
3. Kek terlalu kering
Ini berpunca dari kandungan tepung yang
berlebihan dalam resipi atau adunan kekurangan cecair. Keadaan ini menyebabkan
kek kering dan boleh menyebabkan rekahan pada kek terutama kek mentega.
4. Acuan terlalu kecil
Kadangkala acuan yang digunakan terlalu kecil
untuk menampung adunan yang disediakan. Sebaik-baiknya adunan hendaklah
dituangkan hingga 1/2 acuan sahaja kerana adunan akan naik dan mengembang.
Kesimpulannya untuk memastikan kek tidak
merekah, pastikan perkara-perkara diatas diperbetulkan dan resipi yang
digunakan boleh dipercayai. Letak kek di bahagian tengah oven supaya tidak
terlalu panas. Masa membakar yang biasa bagi kek mentega ialah 1 jam dan kek
span atau sifon pula lebih kurang 45 minit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan