Ada terdapat berbagai jenis kek seperti kek
mentega, kek span , kek sifon, kek keju dan lain-lain. Kek yang berlainan jenis
ini mempunyai kaedah membuatnya yang berlainan. Sebagai orang yang baru hendak
belajar membuat kek, anda hendaklah tahu beberapa perkara penting dalam
pembuatan kek ini. Antaranya ialah :
1. Mengenali bahan
membuat kek.
Bahan-bahan yang biasa digunakan ialah tepung
kek, gula kastor, mentega/majerin, telur, serbuk penaik, soda bikarbonat,
serbuk koko dan sebagainya. Anda boleh pergi ke pasaraya atau kedai menjual
bahan kek dan mengenali bahan-bahan ini.
2. Peralatan membuat
kek
Peralatan yang penting ialah mixer(pengadun).
Buat permulaan anda boleh gunakan pengadun tangan untuk membuat kek mentega,
kek span dan lain.Peralatan lain ialah pemukul telur (whisk), scrapper, mangkuk
pengadun, senduk dan lain-lain. Ketuhar juga sangat penting. Untuk menghasilkan
kek yang cantik dan masak dengan rata, sebaiknya gunakan ketuhar bersaiz besar
seperti Europa, Zanussi ,Elba dan lain-lain yang berharga dalam lingkungan
RM1000.
3. Kaedah Asas
Untuk membuat kek mentega, kaedah yang
digunakan ialah kaedah mengkerim. Kaedah mengkerim ialah memukul mentega dan
gula hingga kembang dan gebu.Kemudian barulah dimasukkan telur dan bahan-bahan
lain. Untuk membuat kek span pula, kaedah membuih (foaming) pula digunakan
iaitu memukul telur dan gula hingga betul-betul kembang dan gebu, barulah
dimasukkan bahan-bahan lain.
Lain-lain perkara yang
perlu diketahui ialah :
(a). Setengah jam sebelum memulakan kerja,
keluarkan mentega dan telur dari peti sejuk supaya berada dalam suhu bilik.
Jika guna mentega yang keras, agak sukar untuk memukulnya. Telur yang sejuk
pula lambat kembang. Sediakan bahan-bahan lain di atas meja.
(b). Panaskan ketuhar kepada 180 darjah
celcius selama 15 minit sebelum memasukkan kek kedalamnya. Adunan kek akan
bertindakbalas lebih cepat dalam ketuhar yang panas.
(d) Jangan buka pintu ketuhar sebelum kek set.
Dalam 30 minit pertama , kek sedang naik dan mengembang.Jika dibuka
ketuhar,haba akan keluar dan proses mengembang akan terbantut. Kek akan jadi
mendap.
(e) Baca arahan dalam resipi dengan teliti
untuk menentukan kaedah yang digunakan.
(f) Bahan-bahan kering seperti tepung kek,
serbuk penaik, soda atau koko hendaklah diayak bersama.
(g) Buat resipi yang mudah dulu seperti Kek
Mentega Vanila, Kek Mentega Oren dan lain-lain.
Kesimpulannya, jangan takut untuk
bereksperimen. Tidak mengapa jika percubaan pertama anda tidak menjadi kerana
anda mungkin membuat kesilapan di sana-sini.Tetapi anda perlu belajar dari
kesilapan pertama itu dan memperbaikinya pada masa akan datang. Good Luck!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan