Terdapat beberapa
jenis bahan asas yang sering digunakan dalam pembuatan kek.Bahan-bahan tersebut
ialah tepung gandum, gula, lemak dan telur. Apakah fungsi bahan-bahan ini?
Setiap satunya memainkan peranan penting untuk menghasilkan sebiji kek yang
enak dan menyelerakan.
1. Tepung gandum - Dalam pembuatan kek, tepung yang sering
digunakan adalah tepung protin rendah (low protein) seperti tepung kek, tepung
superfine, Red Rose dan sebagainya. Anda boleh gunakan tepung gandum
biasa(serbaguna/protin sederhana) tetapi teksturnya lebih kasar berbanding jika
menggunakan tepung protin rendah yang menjadikan kek lebih halus.Tepung gandum
berfungsi sebagai agen penyerap cecair dari telur/air dan membentuk struktur
yang kukuh buat kek itu. Tanpa tepung yang cukup, kek menjadi lembik seperti
puding.
2. Gula - Gula berfungsi memberikan rasa manis dan
melembutkan adunan.Ada sesetengah kek yang mempunyai kandungan gula yang tinggi
agar menjadi pengawet semulajadi supaya kek tahan lebih lama, contohnya kek
buah. Dalam kek mentega, gula dicampur dengan mentega dan dipukul hingga
kembang dan gebu.Gula ini membantu lemak memerangkap sel-sel udara yang penting
untuk menaikkan adunan kek nanti. Dalam kek yang menggunakan kaedah membuih
(foaming method) seperti membuat kek span, gula membantu menstabilkan buih-buih
telur supaya mudah digaul dengan bahan-bahan lain seperti tepung gandum.
3. Lemak - Dalam pembuatan kek, lemak yang digunakan
adalah seperti mentega atau majerin. Lemak berfungsi melembut dan melincirkan
glutin dalam tepung dan menjadikan kek lembut dan halus. Dalam kek mentega,
lemak yang digunakan adalah dalam bentuk pepejal seperti mentega atau majerin.
Untuk mendapatkan kek yang lebih sedap, mentega adalah dicadangkan tetapi
kebanyakan pengusaha bakeri mencampurkan mentega dan majerin untuk menjimatkan
kos dan volume yang lebih baik bagi kek tersebut.Lemak ini dipukul bersama gula
untuk memerangkap sel-sel udara dan menjadikan ia ringan dan gebu. Lemak yang
digunakan dalam kek span adalah dalam bentuk cecair samada mentega cair,
majerin cair atau minyak masak. Ia memberi kelembutan dan kelembapan kepada
kek.
4. Telur - Telur berperanan menyebatikan semua adunan dan
memberikan kelembapan kepada kek. Dalam kek mentega, telur yang merupakan
cecair membantu menyebatikan mentega dan gula . Ia juga membantu mencairkan
gula . Dalam kek span, telur adalah sumber penaik yang utama dimana sel-sel
udara yang terperangkap dalam buih-buih telur itu akan mengembang apabila
dibakar. Proses ini akan menaikkan kek dan menjadikan ia kembang dan gebu.
Telur juga menyediakan rasa lemak dan warna kuning kepada kek.
Begitulah serba
sedikit tentang peranan bahan-bahan yang digunakan dalam pembuatan kek.
Disamping bahan-bahan diatas, ada banyak lagi bahan-bahan tambahan yang
dimasukkan untuk memberikan perbezaan rasa dan warna kepada kek.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan